Thursday, February 4, 2016

Bertabahlah, Allah sedang Menguji. 'Ectopic Pregnancy'


Assalammuaalaikum dunia :)

Hampir dua bulan tak update story dalam blog ni, terasa rindu pulak. so hari ni ringankan la jugak tangan dan mata ni nak story tentang pengalaman yang dilalui sepanjang bulan Januari yang lalu. Kita berhenti sekejap cerita pasal travel okay :)

Aku ingin kongsi pengalaman yang aku lalui bulan lalu di sini supaya wanita di luar sana lebih prihatin dengan perubahan diri & semoga apa yang aku lalui ini tidak akan dilalui oleh kalian semua. In Sha Allah.
                                             
Jam 8.00 pagi, Januari 2016

Pagi itu, hati rasa tak tenteram sangat, badan rasa lemah, tekak loya, dalam hati fikir mungkin gastric ni, gagahkan juga badan ni drive kereta sampai ke office. Sampai di office, perut terasa sakit di bahagian bawah perut belah kanan, hati fikir mesti dah lapar dah perut ni.

Sempat jenguk kawan office di tingkat bawah dan dipelawa pulak makan mee hon putih. Dapat la merasa dalam 5 suap, perasannya time tu sedap sangat mee hoon tu.. mana tau itu makanan terakhir aku dapat makan pagi tu.

Habis suapan terakhir, perut tiba-tiba semakin sakit menyucuk nyucuk, aku mintak diri naik ke atas untuk berehat sekejap di surau. Aku tak pasti berapa lama aku mengerang dalam surau tu sorang-sorang, puas sakit, rasa loya yang teramat, muntah berkali-kali dan kesakitan perut tu tak berkurangan. Sempat sapu minyak angin untuk redakan sakit tapi tak membantu jugak.

Mujur ada seorang kawan office nampak aku dan mereka bantu bawa aku ke klinik keluarga yang berdekatan. Waktu tu tak boleh nak fikir apa-apa, turutkan sahaja mereka. Terima kasih banyak atas bantuan kalian.

Sampai di klinik terus masuk bilik rawatan. Doc tanya bahagian mana sakit, aku tunjuk di belah kanan bawah perut. Doc tunjuk muka pelik, dia tekan di ulu hati, dia tanya sakit tak? Aku jawab bukan situ. aku tetap tunjuk bawah perut sebelah kanan.

Terus doc buat ujian air kencing (UPT) & ultra sound scan.

"Awak mengandung ni, tapi kantung baby tak nampak, scan pon tak jelas ni sebab dah berlaku pendarahan dalam abdomen awak. Kemungkinan besar awak mengandung luar rahim. Awak tak boleh tunggu lagi ni kena cepat pergi hospital sekarang!. Saya panggil ambulan okay? ".Terkedu aku waktu itu.

"Saya datang bulan hari tu doc. tapi berhenti berhenti. hampir 10 hari dah, takkan saya mengandung?" percayalah sukar untuk aku hadam apa yang baru aku dengar dari mulut doc.

" Bukan, tu bukan datang bulan, tu pendarahan dalam tiub dan sekarang janin dah membesar kira-kira 6 minggu berkemungkinan tiub dah pecah sebab scan dah tak jelas ni.Saya buat surat awak kena ke hospital sekarang. Pakar perlu dignosis keadaan awak"

Keluar dari bilik doc, kawan-kawan setia menunggu di luar, yang kelakarnya mereka boleh bersorak sebab mereka ternampak nurse pegang keputusan ujian kehamilan aku (dua line) tanda positif hamil. Tapi lain pulak jadinya aku yang menangis ceritakan keadaan aku sekarang.

Disebabkan aku seorang yg sangat penakot kepada hospital & ambulans, jadi aku mintak untuk naik kereta kawan aku je ke hospital. Percayalah bukan mudah untuk aku menerangkan pada suami & keluarga keadaan aku sekarang. Selepas maklumkan berita pada suami dan family, kami semua terus menuju ke HSA.

Jam 12.00 tengah hari , Januari 2016

Sampai Unit Kecemasan Hosp. Sultanah Aminah, badan dah tak larat sangat, mungkin lemah melayan sakit perut yang aku sendiri tak dapat nak gambarkan sebab aku tak pernah alami sebelum ni. Seperti biasalah banyak ujian di kenakan pada aku dalam unit kecemasan. UPT, scan, ambil darah kiri, masuk air kanan, & lubang jarum lebih besar dipasang untuk masukkan ubat nanti kerana aku akan menjalani pembedahan. Aku tak ingat waktu tu berapa jam aku didalam ER mungkin kira-kira 2 jam kemudian baru aku nampak suami aku dipanggil & aku terus di bawa masuk ke wad ginekologi (wad sakit puan) untuk dignosis oleh pakar sakit puan pula.

Dignosis kali ini lebih perit kerana perlu dignosis vagina-scan kerana ultrasound tidak jelas. Mujurlah aku ditemukan dengan doc wanita sahaja sejak dari tadi. Selepas selesai dignosis doc jelaskan aku ektopic pregnancy (mengandung luar rahim) & pembedahan perlu dibuat segera. Aku diminta makan untuk alas perut dan terus mula berpuasa selama 6 jam sebelum pembedahan dibuat.

Ada dua jenis pembedahan samada pembedahan kecil laparoskopi ( 3 tebukan kecil) atau pembedahan besar terbuka. (czer). Doc maklumkan aku berkemungkinan akan jalani pembedahan terbuka kerana pendarahan yang banyak telah berlaku..Aku  tak berani tanya lebih, tak berani dengar lebih, sebab aku masih tak percaya apa yang berlaku & perkataan ektopic pun aku baru dengar saat itu. Allah! kuatkan aku.

Jam 11.00 malam, Januari 2016.                                                                                                                    
Hampir 6 jam aku melayan kesakitan itu, dan setiap jam aku dipantau keadaan samada masih stabil atau tak.Masuk jam itu dah 4 botol tak silap air masuk berganti-ganti. Tiada apa yang aku jamah sepanjang hari itu kerana sungguh aku tiada selera. Menunggu giliran untuk dibedah bukan sesuatu yang pernah terlintas dalam fikiran aku ketika itu.

Aku banyakkan beristigfar & katakan pada diri mungkin sudah tiba giliran aku untuk diuji kali ini. Sepanjang penantian menunggu giliran untuk dibedah, tak henti-henti aku panjatkan doa dan memohon Allah berikan kekuatan kepadaku. Apalah sangat ujian ini kalau nak dibandingkan dengan penderitaan orang lain yang mungkin lebih hebat.Aku lihat wajah suami  & keluargaku, mereka beri galakan dan semangat untuk aku tabah menghadapi ujian ini. Jadi tiada pilihan lain yang aku ada selain aku perlu tabah dan redha. saat itu.

Jam 12.00 malam, Januari 2016

Persediaan pembedahan dijalankan ke atas ku.Suami iringi pemerigian aku sebelum dimasukkan ke dewan pembedahan. Sungguh selalu aku lihat panorama ini dalam cerita drama korea je tapi kali ni aku laluinya sendiri. Baju putih pembedahan, tiub ubat, air, darah kanan & kiri, kesejukan dewan bedah & sorotan lampu kalimantang mengiringi aku yang diusung untuk dibawa masuk ke dewan pembedahan. Ketika itu hanya kepada Allah tempat berserah.Ya Allah tiada dayaku melainkan belas kasihMu.

Doc bius memperkenalkan dirinya yang pasti aku tak ingat siapa. Aku cuma mampu jawab apa yang ditanya. Cuma yang aku ingat aku dimaklumkan akan dibius penuh untuk pembedahan kali ini & aku akan "tertidur" sehingga pembedahan selesai. Cuma kalau-kalau dalam tidur nanti aku terasa satu hentakan pada dada, mungkin ketika itu doc sedang cuba menyelamatkan denyutan nadiku. Ketika itu doc nasihatkan aku untuk sentiasa  mengucap dan banyakkan mengingatiNya. Ya Allah triller betul ayat-ayat doc ni time tu terasa bergetar rongga-rongga badan time tu!.

Dewan bedah No.6 dibuka luas untuk aku masuk. Segala mak nenek tiub dan peralatan mula dipasang. Dalam hati aku redha & aku pejamkan mata untuk ucapkan selamat tinggal kepada kandunganku. Kita tidak ditakdirkan untuk bertemu sebagai seorang ibu dan anak di dunia ini sayang....
Doc bius suruh aku tenung lampu bedah & banyakkan mengucap sebelum aku terlena tanpa disedari.

Jam 4.00 pagi, Januari 2016

Seseorang memanggil nama aku, saat mata terbuka segenap itu terasa kesejukan menyelinap seluruh badan. Kesakitan pada kerongkong terasa mungkin kerana tiub oksigen yang dimasukkan semasa aku dibius penuh tadi. Aku ternampak jam di dinding yang menunjukkan pukul 4 pagi ketika itu. Rupanya aku berada di bilik saringan selepas pembedahan. Orang kata untuk menghindar kuman selepas bembedahan & mengenalpasti tahap kestabilan pesakit selepas dibedah.

Jam 5.00 pagi, Januari 2016

Satu jam selepas itu baru aku ditolak keluar semula ke wad. Keluar dari bilik bedah aku sempat melihat wajah suamiku yang kepenatan menunggu aku sejak semalam. Beberapa ketika aku tersedar sebelum aku terlena semula.

"Seseorang berbaju hijau menghulurkan aku sesuatu, tiada suara, hanya menghulur, aku ambil, sesuatu yang dalam botol kecil di dalamnya kelihatan seperti janin kecil bewarna putih. Aku belek, aku lihat suami disisi, turut membelek, & kami tersenyum sebelum aku pulangkan semula kepada orang itu & botol kecil itu dibawa pergi." 

Aku tersedar, rupanya aku bermimpi, kamu ucapkan selamat tinggal dalam mimpi sayang?. Terima kasih Allah, Kau pertemukan juga kami dengan janin kecil itu walaupun hanya dalam mimpi. Suamiku setia berada di sisi & sedikit demi sedikit kesakitan mula terasa. Sedih? siapa tak sedih. Kandungan aku sudah tiada. hanya yang tinggal kesakitan selepas pembedahan. Tetapi hidup harus diteruskan.....

Surah Al Baqarah Ayat 214 yang bermaksud. Allah berfirman :


''Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh acaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang yang beriman yang ada bersamanya : Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada Agama Allah)''

Apalah sangat ujian ini kalau nak dibandingkan dengan mereka yang di uji lebih hebat dari Sang Maha Pencipta. Aku tetap bersyukur kerana masih dizinkanNya untuk melihat dunia semula, jika aku lewat dibawa ke hospital, tak tahulah apa yang akan terjadi pada aku waktu itu. Sungguh aku berterima kasih kepada kawan-kawan yang prihatin terhadap aku. Terima kasih diatas doa-doa & sokongan kalian. Hanya Allah sahaja yang dapat membalasNya.

"Ya Allah, Maafkan aku kerana tak sedar & terleka dengan pemberianMu Tuhan yang telah hampir masuk minggu ke 7 dalam kandunganku. Maafkan aku Tuhan kerana berhati lemah dalam menghadapi ujian kecil yang diturunkan olehMu".

Aku dan suami redha dengan ujian ini & kami percaya tidak akan ada ujian dan kesusahan yang datang tanpa sesuatu yang indah menanti di penghujung jalan nanti.

Doc jelaskan masih ada harapan untuk hamil semula dan perancangan untuk hamil semula perlulah dibuat sekurang-kurangnya 6 bulan selepas pembedahan. Aku tak mahu banyak fikir apa yang bakal berlaku dimasa hadapan. Aku serahkan segalanya kepada ketentuanNya. Kerana aku percaya setiap ketentuanNya terhadapku tidak akan pernah silap.

Berbaik sangkalah dengan setiap ketentuan Allah. Itulah cara yang terbaik untuk meneruskan kehidupan. Akan kami abadikan pengalaman ini dalam hidup supaya menjadi pengajaran & kenangan berharga kerana kami insan terpilih untuk menghadapi ujian ini. Kami Redha.

Bermulalah hari-hari berpantang yang penuh dengan dugaan.....Sabar itu indah...

Bertabahlah & sabar, Allah sedang menguji :)

:- Tiada gambar untuk dikongsi sepanjang dihospital, kagumlah aku kalau ada yang sempat bergambar dalam keadaan sakit macam tu. 

                                             ........................................................................

Sedikit perkongsian tentang Ectopic Pregnancy





Punca Ectopic Pregnancy

Bila suami tanya doc apa punca ectopic aku doc tiada jawapan, katanya mungkin disebabkan tiub fallipio aku sempit dan mengakibatkan embrio tidak dapat kembali ke rahim. Tapi itu semua kemungkinan dan doc lebih menekankan ini adalah ketentuan Allah & kami perlu terima.

Tanda-tanda Ectopic Pregnancy

Di sini aku sertakan symptom2 ectopic pregnacy buat perhatian semua. (Kot-kot adalah yang nak tau?)

Rupanya symptom muntah kuning, sakit perut, mengidam, pening, sensitif pada bau yang aku alami sejak beberapa minggu itu adalah petanda aku hamil bukan gastric seperti yang aku sangka. Beberapa tanda-tanda ectopic pregnancy ialah :

1) Sakit di bahagian bawah perut pada salah satu bahagian samada (kanan & kiri)
2)Pendarahan faraj yang tidak normal, berpanjangan dan warna lebih gelap dari warna haid
3) Cirit birit  atau sakit ketika membuang air besar.
4) Untuk pesakit yang pernah mengalami ectopic, 20% tahap berkemungkinan untuk mendapat ectopic pregnancy semula & sekiranya hamil semula,ultra sound scan perlu dilakukan pada peringkat awal sekiranya disahkan hamil bagi memastikan kandungan adalah di dalam rahim.

Jika gejala lebih serius  yang membawa maksud tiub telah pecah disebabkan perkembangan janin (biasanya akan berlaku antara 6 hingga 10 minggu usia kehamilan), gejala berikut mestilah diambil perhatian :

1)Sakit perut yang teruk secara tiba-tiba
2) Pening, pengsan, berpeluh, letih dan lesu
3) Perut membengkak
4) Pengsan akibat pendarahan yang terlalu banyak
5) Rasa nyeri di bahagian bahu tanda pendarahan telah berlaku.

Semoga memberi manfaat kepada semua. In Sha Allah. 

~Ucapan terima kasih ku ucapkan kepada kak Linda, Suzyana, Diba & Kak Zyana yang membawa aku hingga ke HSA. Walaupun masing-masing ada yang tengah sarat mengandung, digagahkan mereka untuk membantu aku. Terima Kasih banyak. Semoga Allah balas budi baik kalian.

~Terima kasih buat semua Doc & nurse di Hospital Sultan Aminah yang sangat baik & banyak membantu aku sepanjang pembedahan & berada di wad. Semoga Allah balas jasa kalian.

~Terima kasih buat suami yang sentiasa ada disaat susah mahupun senang, terima kasih atas perhatian & kata-kata semangat. 

~Terima kasih buat kedua ibu bapaku yang menjaga & tak jemu jemu memberikan kata-kata semangat supaya aku kembali pulih. Semoga Allah sentiasa merahmati mereka. In Sha Allah

~Terima kasih buat adik beradik, keluarga & saudara mara yang membantu & melawat serta sentiasa ada bersama kami dalam mengharungi ujian ini.

~Terima kasih rakan-rakan jauh dan dekat yang melawat & tak jemu memberi sokongan. Semoga Allah balas budi baik kalian. In Sha Allah.

*Selawat & salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W

*Al Fatihah buat kedua ibu bapa yang kita kasihi,
*Al Fatihah buat diri & suami
*Al Fatihah untuk mereka yang sedang  berduka,
*Al Fatihah untuk mereka yang sedang diuji,
*Al Fatihah untuk mereka yang telah kembali menghadap PenciptaNya.


~AL FATIHAH ~